Kolej Komuniti Sungai Petani telah mula beroperasi sejak Mac 2002. Kolej Komuniti Sungai Petani merupakan sebuah institusi pendidikan kerajaan di bawah Bahagian Pengurusan Kolej Komuniti, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Pengambilan pelajar pertama oleh Kolej Komuniti Sungai Petani dibuat pada Julai 2002 melibatkan kursus Sijil Hotel dan Katering. Pengambilan pelajar pada sesi Julai 2003 pula menawarkan Sijil Hotel dan Katering dan Sijil Automotif.
Pada Tahun 2004 Kolej Komuniti Sungai Petani menawarkan Sijil Kecantikan dan Dandanan Rambut. Selain kursus sepenuh masa, kolej ini juga menawarkan pelbagai program kursus pendek yang terbuka kepada semua lapisan masyarakat setempat bertujuan untuk meningkatkan kemahiran dan kualiti kerja peserta kursus pendek terbabit.
Kolej Komuniti Sungai Petani kemudiannya meluaskan sayapnya dengan membuka Kampus Cawangan Baling dan penubuhan Kampus Cawangan Jeli di atas permintaan Menteri Pengajian Tinggi jelas membuktikan betapa kolej ini sentiasa bergerak maju ke hadapan dalam menyampaikan ilmu dan mempertingkatkan kemahiran bagi penduduk setempatnya. Bagi kedua-dua cawangan ini, kolej ini menawarkan Sijil Bakeri dan Konfeksionari dan Sijil Fesyen Pakaian untuk kursus sepenuh masa dan memperbanyakkan kursus pendek bagi masyarakat Baling dan Jeli, Kelantan.






































